Friday, 27 April 2012

Boleh dilatih seperti kucing



LAZIMNYA apabila sebut sahaja haiwan peliharaan pasti orang akan terbayang seekor kucing Parsi yang comel untuk dijadikan teman. Kucing Parsi begitu diminati kerana faktor bulu tebalnya itu. 
Namun, pernahkah anda terfikir hari ini terdapat arnab mempunyai ciri-ciri yang sama.
Bahkan, arnab eksotik itu bukan sahaja mula menarik minat ramai disebabkan bulunya, bahkan kerana ke pintarannya.
Disebabkan itu, harga arnab eksotik berbeza dengan harga arnab biasa atau arnab daging. Harga arnab eksotik boleh mencecah ribuan ringgit mengikut jenis yang dikehendaki.
Bagi sesetengah individu, memelihara arnab di dalam rumah sebagai hobi mungkin agak janggal. Bagaimanapun, sejak tahun 2008 hobi tersebut semakin diterima ramai dan mula mendapat perhatian.
Hobi membela arnab kemudian semakin berkembang dan kerana itulah tercetus idea membawa baka-baka arnab eksotik dari luar negara untuk dipelihara.
Bermula sejak tahun 2008
Bagi jejaka kelahiran Kuala Lumpur, Che Mahdhir Che Mohamad, 21, minatnya membela arnab bukanlah baru berusia sehari dua.
Sejak kecil sebenarnya Che Mahdhir sudah memelihara arnab daging. Cuma kecintaan Che Mahdhir terhadap arnab eksotik mula bercambah kira-kira empat tahun lalu selepas membaca mengenainya di Internet dan perbualan dengan kawan-kawan.

ARNAB eksotik atau arnab hiasan biasanya memiliki ciri-ciri seperti comel, berbulu cantik, manja, tertib dan mudah dilatih.


"Ketika itu saya baru tamat belajar tingkatan lima di sebuah sekolah teknik di Kuala Lumpur. Selepas mengetahui mengenai kewujudan arnab eksotik ini saya mula mencarinya dan membeli seekor arnab tersebut untuk dijadikan teman.
"Saya mula memelihara arnab eksotik daripada jenis Holland lops dan Netherland dwarf. Buat permulaan saya bela seekor arnab kemudian dua ekor dan sehingga kini saya mempunyai 30 ekor daripada pelbagai jenis arnab eksotik," katanya yang berasal dari Gombak, Selangor itu.
Menerangkan lagi mengenai arnab peliharaannya, jenis Holland lops dan Netherland dwarf merupakan arnab yang berasal dari Belanda dan mempunyai berat badan sekitar 1.1 hingga 1.8 kilogram.
Ciri-ciri arnab Holland lops selain bersaiz agak besar, ia juga mempunyai warna bulu yang cantik. Arnab itu memiliki telinga yang jatuh ke bawah, berlainan daripada arnab-arnab lain.
"Badan arnab ini sedikit berotot, dada yang sedikit ke dalam serta berkaki pendek dan tebal. Warna yang paling banyak untuk jenis ini ialah warna coklat serta putih, hitam serta putih dan pecahan jingga.

SEKUMPULAN peminat arnab tertarik dengan kecomelan arnab eksotik jenis Holland lops yang bersaiz agak besar.


"Selain itu, arnab eksotik jenis ini memiliki mata berwarna biru dan merah delima. Mukanya bulat dan comel. Arnab Holland lops ini mempunyai sikap yang lemah-lembut sepadan dengan saiznya," kata Che Mahdhir yang kini menukarkan hobinya itu kepada perniagaan.
Disebabkan sikapnya yang lemah-lembut itu, Che Mahdhir menjelaskan, arnab tersebut sesuai dijadikan haiwan peliharaan sama ada di luar ataupun di dalam rumah.
Tetapi jika diletakkan di dalam rumah, dia menasihati supaya pemiliknya memastikan arnab terbabit tidak terjerat dengan sebarang wayar yang berselirat, tumbuhan beracun dan haiwan peliharaan lain seperti kucing disebabkan saiznya yang agak besar.
Sementara itu, jelasnya lagi, arnab Netherland dwarf pula mempunyai saiz yang kecil antara 13 hingga 18 sentimeter, berbentuk seperti guinea pig, bermuka bulat dan pendek.
Bentuk kepala serta mata seimbang dengan saiz badannya. Keadaan ini adalah disebabkan kekerdilan dalam genetik arnab jenis itu. Telinganya yang kecil dan terletak sedikit tinggi di bahagian atas kepala membuatkan ia kelihatan comel.
Istimewanya arnab Netherland dwarf, saiznya yang lebih kecil menyebabkan ia mudah dipegang dan dibawa ke mana sahaja. Ia sangat jinak, tetapi sedikit takut dengan manusia pada peringkat awal.
Biak di Malaysia
Seorang peminat arnab eksotik, Ihsan Mukhlis Mohamad, 29, pula berkata, arnab eksotik sebenarnya sukar ditemui di negara ini dan pula diimport dari luar negara.
Arnab-arnab tersebut terdiri daripada spesies seperti anggora, lion head, hotot, lion king, caroliner dan New Zealand white.

IBU arnab akan mencabut bulunya sendiri untuk dijadikan sarang ketika melahirkan anak bagi memastikan anaknya itu tidak kesejukan.


Selain itu, terdapat juga arnab daripada jenis jersey wooly, Californian, American fuzzy lop dan mini rex. Kebanyakan arnab yang terdapat di sini ialah arnab baka New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.
Bagaimanapun jelas Ihsan Mukhlis, sejak kebelakangan ini semakin ramai individu di negara ini memberanikan diri menjadi pembiak arnab eksotik mengikut kepakaran masing-masing.
Hasilnya, lebih banyak arnab eksotik dapat dibiakkan di Malaysia, sekali gus dijual pada harga yang lebih berpatutan berbanding arnab yang diimport dari negara asalnya.
Arnab eksotik yang dijual di pasaran tempatan boleh dibeli pada harga antara RM100 hingga RM3,600. 
"Sebelum anda jatuh cinta untuk memiliki arnab yang comel dan manja ini, anda bagaimanapun perlulah menitikberatkan beberapa perkara penting mengenai arnab.
"Arnab sebenarnya mempunyai jangka hayat lima tahun atau lebih. Ia memerlukan pemerhatian yang lebih dan tempat tinggal yang selesa atau habitat yang menepati keadaan semula jadinya," kata Ihsan Mukhlis.
Menurutnya, arnab eksotik ini beretika dan mudah dilatih seperti kucing. Daripada jadual pemakanannya sehingga kepada tempat pembuangan najis arnab tersebut dapat didik mengikut kehendak pemilik.
"Untuk pengetahuan anda, air kencing arnab sebenarnya berbau hancing dan sangat kuat. 
"Sehubungan itu anda perlu membersihkannya setiap hari. Jika tidak kemungkinan lalat akan mudah menghurung sangkar arnab anda," katanya

No comments:

Post a Comment